
|
|
calendar
| << May 2012 >> | ||||||
| Sun | Mon | Tue | Wed | Thu | Fri | Sat |
| 01 | 02 | 03 | 04 | 05 | ||
| 06 | 07 | 08 | 09 | 10 | 11 | 12 |
| 13 | 14 | 15 | 16 | 17 | 18 | 19 |
| 20 | 21 | 22 | 23 | 24 | 25 | 26 |
| 27 | 28 | 29 | 30 | 31 | ||
credits
Pergilah Nelly... I redha. Benar, keredhaannya itu akhirnya telah membawa pergi Nelly dari hidupnya. Di tanah perkuburan yang tanahnya masih merah ini dia membacakan surah Yaasin untuk Nelly. Kepalanya di dongakkan seketika mencari ruang untuk bernafas.
Pada hari yang sama ini di hujung sebelah sana dia lihat seorang wanita mengandung duduk di tepi kubur. Tekun membaca ayat suci Allah. Wanita itu sudah ada di situ ketika dia sampai dan masih lagi di situ ketika dia sudah selesai membacakan surah Yaasin untuk arwah Nelly. Sesekali dia lihat wanita itu seperti mengesat air matanya.
Lihatlah wanita itu yang mungkin sudah sarat benar hingga hendak bangun pun terasa begitu payah sekali untuk bangun. Ya Allah, kau permudahkanlah hidup ibu mengandung itu. Tetapi dari kejauhan itu dia terasa ada sesuatu yang menarik tentang wanita itu. Wajahnya, gerak langkahnya walau kelihatan sangat lemah. Lihatlah caranya mengelapkan air mata dengan belakang telapak tangan. Sama dengan seseorang yang pernah dekat dengannya. Seseorang yang mengajar dia erti hidup!
Langkah kaki diatur perlahan agar tidak tersalah langkah. Maklumlah musim hujan, rumput-rumput masih lagi basah dari hujan malam tadi. Bimbang tergelincir nanti. Pada usia kandungan yang sudah mencecah hampir sembilan bulan ini, dia sudah tidak lincah lagi. Dia cepat letih dan sering sakit belakang. Jika dulu Adam akan ada untuk membantu, tetapi...
Sesekali tangannya mengelus perut yang terasa tegang. Semuanya dia rasa serba tidak kena. Emosi, kesihatannya... semuanya sudah tidak tentu hala. Sepatutnya saat ini dia dan Adam sedang melakukan persiapan untuk meraikan kehadiran permata cinta mereka.
“Leganya.” Keluh Yasmeen penuh kelegaan apabila berehat sebentar di wakaf yang disediakan. Staminanya sudah semakin berkurangan. Dia cepat lelah selepas melangkah beberapa tapak. Mujurlah keretanya di letakkan berhampiran dengan tanah perkuburan ni.
“Sayang mama.” Bisik Yasmeen perlahan sambil mengusap perlahan perutnya yang membuncit. Perutnya besar dan beratnya sudah bertambah sebanyak 25 kilogram mencecah ke angka 75. “Papa dan tinggalkan kita sayang.” Terasa pergerakan tangan anaknya seperti memujuk. Dulu... Adam sangat teruja apabila perutnya bergerak perlahan.
Hendak sampai ke kereta yang hanya sekangkang kera dari wakaf ini pun dia rasa nyawanya seperti hendak tercabut. Nafasnya rasa sangat sesak. Sayang... kita mesti kuat semangat. Bisik Yasmeen sambil mengosok perutnya. Anak yang dikandungnya ini seperti memahami yang mamanya sedang bersedih. Mungkin benar mereka sedang berkongsi kehilangan. Kehilangan Adam yang dia cinta.
Penghawa dingin keretanya dia buka ke laras yang minima. Dia sudah tidak tahan sejuk. Badannya akan terasa ngilu, belum lagi tiba waktu malam. Jika dulu Adam sangat rajin memakaikan stokin dan menyelimutkannya. Kadang kala Adam yang penyabar tu akan buat apa saja asalkan isterinya ini selesa di atas katil.
Ketika kandungan menginjak ke tujuh bulan, dia sudah tidak selesa tidur baring atas katil. Biasanya Adamlah yang akan buat kerja-kerja meletakkan bantal di kiri kanannya. Atau ada ketikanya apabila pinggangnya sangat sakit dia hanya tidur separuh baring sambil bersandar pada Adam yang juga dalam keadaan yang sama di atas sofa mereka.
Astagfirullah... Yasmeen jangan dikenangkan lagi.
Gear ditukarkan ke D untuk memulakan pemanduannya. Hendak memandu juga dia sudah sangat seksa kerana perutnya yang besar ini. Sejak tiga minggu selepas Adam pergi meninggalkan mereka, dialah yang buat semuanya. Mujurlah dia bekerja sendiri berkongsi dengan Aiman. Jadi bolehlah dia buat kerja mengubah dari rumah saja.
Keluar dari tanah perkuburan Ampang, dalam kepayahan tu dia memandu ke KLCC. Tempat paling hampir untuk dia membeli belah barang keperluan baby. Dia dan Adam memang sudah banyak kali berjalan mencari barang keperluan. Perancangan mereka memang adalah waktu ini untuk membeli barang-barang bayi. Tetapi perancangan Tuhan, Adam pergi dulu sebelum bayi ini dilahirkan.
Tak mengapalah sayang... kita berdua pun boleh kan.
Perut yang senak, sakit dan pinggang yang tegang itu tidak dia pedulikan. Dia kan kuat semangat. Dia mesti boleh! Lagi pun Aiman yang akan memandu balik dari KLCC nanti. Yasmeen langsung tidak menyedari ada kereta lain yang sedang mengikutnya dari belakang. Pemandu kereta yang sangat setia mengekori dari tanah perkuburan tadi.
Langkah yang di atur oleh Yasmeen sangat perlahan. Dalam keadaan kandungan yang semakin membesar ini, dia terpaksa melakukannya seorang diri. Adam... saya dapat rasakan tendangan kaki anak kita ni. Sekali lagi dia berhenti dan duduk di bangku yang disediakan. Hendak ke tingkat dua pusat membeli belah ini pun dia rasa sangat seksa. Dia cepat penat sekarang ni!
“Aiman, aku dah sampai ni.”
“Kat mana? Aku dalam teksi lagi ni.”
“Tingkat dua, depan entrance Isetan ni.”
“Okey, kau tunggu aku sampai aku datang. Aku dah ada depan Ampang Park ni.”
“Cepat, aku rasa macam lapar.”
Sejak mula mengandung dia akan cepat lapar. Jadi dulu, Adam akan sediakan biskut atau coklat dalam beg tangannya. Sekarang ni, Aiman yang ambil alih tugas tu.
“Makan biskut tu, aku dah letakkan tadi dalam beg kau.” Balas Aiman. Sejak Adam tak ada, dia sudah pindah ke rumah Yasmeen. Sementara dia masih bertunang ni bolehlah dia temankan Yasmeen sehingga Yasmeen selamat bersalin dan tamat tempoh pantangnya. Lagipun Yasmeen bercadang hendak habiskan tempoh pantangnya di kampung.
“Ya lah, aku nak makan ni. Cepat sikit ya.” Boleh tak kalau dia nak suruh Aiman dukung dia sebab dia dah tak larat nak jalan.
Dari jauh Ariel memerhatikan wanita yang dia ekori dari tanah perkuburan tadi. Betullah itu Yasmeen tetapi kubur siapa yang dia lawat tadi? Yasmeen mengandung. Bisik Ariel dalam hati. Berbeza sangat dengan Yasmeen yang pernah dia kenal enam tahun dahulu. Yasmeen yang dahulu dan sekarang tetap juga comel di hatinya.
Tangannya menyelok isi dalam beg mencari biskut yang dibekalkan oleh Aiman. Sekali lagi dia merasai tendangan kaki anak yang sedang dikandungnya. Hati... tabahlah! Perlahan-lahan perut yang sedang menegang tu dia gosok dengan tangan kanannya.
“Sayang jangan nakal.” Bisik Yasmeen kepada anak dalam kandungan.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam.” Kepalanya mendongak memandang suara yang menegurnya dan dia nampak... Ariel? Ariel yang pernah menjadi suaminya. Lelaki yang punya tempat istimewa dalam hatinya! Ya lah buat apa nak tipu, selepas Adam dia hanya ada Ariel dan selepas Ariel dia ada Adam.
Atau secara ringkasnya Adam à Ariel à Adam. Mereka berdua saling berkait dengan seorang wanita bernama Yasmeen.
“Yasmeen.” Tegur Ariel.
“Ariel?” Dia tidak banyak berubah pun. Rambutnya masih hitam. Pakai pewarna rambut ke Ariel? Cuma... dia kelihatan sedikit kurus. Ya lah... mereka pun bukan muda lagi.
“Awak dah...” Ariel memandang ke arah perut besar Yasmeen.
“Tengah tunggu hari.” Balas Yasmeen perlahan. Dia malulah... perutnya ini besar dan bulat. Selalu saja menjadi perhatian orang ramai kerana dia seperti sudah tidak berdaya hendak membawa perut yang besar ni. Badannya pula tidaklah sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan saiz perutnya ini.
“Beraninya jalan seorang diri. Adam mana?” dia tahulah Yasmeen telah memilih Adam selepas tiga tahun mereka berpisah. Cerita perkahwinan Yasmeen tu dia dapat tahu daripada Murni dan sebelum itu pun dia pernah terserempak dengan Yasmeen dan Adam di Kinokuniya.
“Saya tengah tungguh Aiman.”
“Kalau dah sarat macam ni duduk rumah ajalah Meen.”
Terasa berbuku air liur yang ditelannya. Ariel tak tahu, dia trauma tinggal di rumah seorang diri. Sebetulnya sejak Adam pergi, dia lebih senang berada di luar jika tiada Aiman menemaninya di rumah.
“Sorry Meen... aku lambat.” Jerit Aiman tidak jauh dari mereka.
“Err...” Aiman terkejut memandang lelaki yang bersama dengan Yasmeen. Bila masa pula Yasmeen dan Ariel ‘berkawan’ semula?
“Apa khabar Aiman?” eh mana dia boleh lupa, Aiman kan kawan Yasmeen dah dia pernah hampir salah sangka yang Aiman tu adalah kekasih Yasmeen.
“Ariel?”
Ariel angguk kepala. “Ternampak Meen duduk sini tadi, tu yang saya pun datang sini. Maklumlah dah lama tak jumpa.”
“Oh... saya ni pun nak temankan Meen beli barang baby.” Jujur Aiman menerangkan situasi mereka kepada Ariel.
Yasmeen ni kalau bab berjalan dan shopping memanglah dia kuat semangat. Lihatlah dah tunggu hari macam ni pun masih sempat nak membeli belah tanpa Adam pula tu. “Adam mana?” Ariel... masih juga hendak tahu tentang Adam. Maklumlah saingan kan?
“Adam...” Aiman tidak meneruskan kata-katanya. Sebaliknya dia memandang Yasmeen di sebelah.
“Adam dah tak ada.” Jawab Yasmeen lirih dan perlahan.
“Adam pergi mana?” Soal Ariel pantas. Lain macam aja bunyi suara Yasmeen ni.
“Dia dah pergi tinggalkan kami.” Balas Yasmeen perlahan dan menggosok perlahan perutnya. Ya Allah... dia sangka dia kuat. Ternyata tiga minggu tempoh pemergian Adam tu masih belum menghilangkan kesedihannya.
“Innalillahhiwainalilahhirojiun.” Bisik Ariel perlahan. Kasihannya Yasmeen. Dia keseorangan menghadapi saat melahirkan anak yang dikandungnya.
Hatinya meronta-ronta ingin tahu bagaimana Adam pergi meninggalkan mereka. Tetapi wajah sayu Yasmeen menghalangnya untuk terus bertanya. Sejak dulu dia tidak pernah boleh melihat wajah sedih Yasmeen. Ya lah tuh Ariel, kau tetap juga sakitkan hati Yasmeen.
Sudahnya hampir ke lewat petang dia menemani Yasmeen dan Aiman membeli barang keperluan si kecil yang bakal lahir. Yasmeen tu memanglah... sedih macam mana sekali pun, apabila tiba bab membeli belah pastilah dia yang terlebih bersemangat.
Dalam diam juga dia belikan juga sepasang dua baju jenama Poney untuk si kecil yang bakal lahir. Entah-entah kembar sebab perut Yasmeen tu besarnya mengalahkan apa aja. Tetapi Yasmeen kata bukan kembar. Tak apalah dia belikan saja dress kecil warna pink dengan polkadot warna merah. Pasti comel nanti.
“Ariel, tak payahlah susah-susah belikan baju ni.” Malulah dia nak terima pemberian Ariel selepas enam tahun tidak berjumpa. Kemudian Ariel pula menemani mereka sejak tadi. Serba salah dia dibuatnya, hendak dihalau nanti nampak seperti tidak beradab. Dibiarkan, Ariel pula mengekori mereka sejak tadi.
“Dah cukup semua barang?” soal Ariel tanpa membalas kata-kata Yasmeen tadi.
Yasmeen angguk kepala. Sebenarnya ada dua benda yang dia belum beli, stroller dan car seat. Tetapi biarlah dulu. Bila si kecil ni dah keluar barulah dia beli yang itu.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Dia redha, inilah balasan Allah yang harus dia terima untuk segala kekhilafannya. Dia gagal menjadi khalifah di muka bumi Allah ini. Dia sepatutnya menjadi lelaki yang memimpin dan bukannya lelaki yang dipimpin oleh wanita-wanita yang seksi dan menggoda. Salah satunya adalah Nelly.
Itu adalah Nelly yang dia kenal bertahun dulu. Gebu, seksi, manja dan lincah. Tetapi Nelly yang menjadi isterinya hari ini kurus kering dan terbaring lesu. Dada Nelly berombak perlahan menjadi perhatiannya. Sekarang ini Nelly hanya bergantung kepada oksigen semata-mata.
Biarlah dia simpan rahsia Nelly dalam hatinya. Nelly dia kahwini dengan seikhlas hati untuk menebus segala dosa yang pernah mereka lakukan. Dia tidak akan bercerita bagaimana Nelly dihinggapi oleh Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) tu pada sesiapa pun. Itu adalah rahsia yang dia akan simpan sampai mati kerana Nelly telah menjadi isterinya dan satu tanggungjawab untuknya sebagai suami menutup cerita gelap sang isteri.
“Nel, I keluar sekejap ya.” Tekaknya haus
Pada saat kesihatan Nelly semakin merosot ini dia telah mengambil cuti tanpa gaji. Dia akan jaga Nelly sampai akhir hayatnya. Menurut doktor yang merawat Nelly, tahap kesihatannya semakin merosot. Tambahan pula matanya yang cantik dahulu sudah tidak boleh melihat kerana komplikasi Cyromegalovirus Retinitis.
Ya Allah, aku redha jika ini adalah jalan terakhir untuk Nelly. Ketika dia hendak bergerak jauh dari katil, pipi cengkung Nelly basah. Dia menangis. Tangisan Nelly tu seperti pisau yang menghiris hatinya. Kepiluan itu terasa hingga ke tulang.
Nel, I tetap sayangkan you walau pun you I nikahi pada awalnya atas dasar simpati dan sebagai penebus dosa. I ingin bertanggungjawah ke atas you. Bisik Ariel dalam hati ketika dia berjalan perlahan meninggalkan Nelly yang terbaring tidak bermaya.
Pintu bilik khas yang dia tutup tadi, dia buka semula. Hatinya berat hendak meninggalkan Nelly pada saat genting seperti ini. Gerak hatinya mengatakan saat Nelly semakin hampir dan dia tidak mahu Nelly pergi tanpa dia di sisi.
Langkahnya diatur semula ke arah katil Nelly. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, bau ubat sudah sebati dengan dirinya. Atau lebih tepat apabila Nelly dimasukkan ke hospital sejak dua bulan lepas. Sejak itu jugalah di sinilah rumahnya.
“Nel, I tak akan tinggalkan you.” Ya Allah, jika inilah jalan yang terbaik, aku redha dengan seikhlas-ikhlasnya. “I sayangkan you.” Memang benar itu yang dia maksudkan. Dia sayangkan Nelly. Sayangkan Nelly dengan seikhlas hatinya.
Ketika dia mengusap lembut menghapuskan air mata yang mengalir di pipi cengkung Nelly. Dada Nelly berombak kuat. Melihat keadaan Nelly seperti ini dia sendiri yang sebak. Sejak dia berkahwin dengan Nelly dan sejak berita penyakitnya ini sampai ke pengetahuan ibu bapanya. Nelly disisihkan terus, kejam sungguh percaturan manusia. Itu pun mereka tidak mengetahui punca Nelly dapat penyakit ini. Cubalah kalau mereka tahu, tentu Nelly akan dihina dengan teruknya.
Tangan lemah Nelly teraba-raba mencari topeng alat bantu pernafasan yang terlekat di hidungnya.
“Ada apa Nel?” telinganya di dekatkan pada Nel. Tangan mereka bertautan walau dibatasi oleh sarung tangan keselamatan. Kudis pada permukaan kulit kadang kala mengeluarkan bau hanyir. Mulanya dia rasa loya, tetapi lama-kelamaan semua rasa itu dia telan sendiri demi Nelly.
“I mintak maaf Ariel, pada you... pada Yasmeen. Ampun kan dosa I.” Bisik Nelly perlahan dan hampir tidak kedengaran.
“I dan Yasmeen dan maafkan you. Kami redha.” Dia
masih ingat lagi Yasmeen ada menghantar SMS memberitahu yang dia redha dan
maafkan Nelly untuk atas apa yang berlaku pada perkahwinan mereka sehari
selepas mereka sah bercerai."dan I juga dah maafkan you."
Suara Nelly semakin perlahan dan terputus-putus. Dadanya
semakin kuat berombak. “Doctor.” Jerit Ilham. Butang kecemasan dia tekan dalam
perasaan yang bercampur baru. Semuanya terjadi dalam sekelip mata.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Tadaaaaaaaaa.... selamat membaca semua. hmmm lama kan saya tak buat enovel, awak semua doakanlah untuk saya supaya saya rajin menulis.
| Next Page |